
Kawan yang baik. – Kawan yang baik pon tak suka dap. Alhamdullilah.
Doa.
16 September 1963
TANGGAL 16 SEPTEMBER…HARI MALAYSIA DAN HARI MATINYA CHIN PENG!
Hari Malaysia merupakan perayaan yang diadakan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia atau penggabungan Tanah Melayu, Borneo Utara (sekarang dikenali sebagai Sabah), Sarawak dan juga Singapura (berpisah dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965) bagi membentuk Malaysia pada tahun 1963.
Namun tak ramai yang tahu, tarikh 16 September itu juga merupakan hari matinya Setiausaha Agung Parti Komunis (PKM) yang bernama bernama Ong Boon Hua@ Chin Peng.
Beberapa tahun sebelum kematian Chin Peng, saya pernah menemui pemimpin PKM yang dianggap paling kejam itu.
Wawancara sulit itu di Hotel Lee Garden, Hatyai, Thailand. Ia adalah tempat yang sama sewaktu PKM menandatangani perjanjian damai dengan Malaysia pada tahun 1989 dulu.
Ia adalah antara misi paling mendebarkan dalam karier saya sebagai wartawan jenayah.
Serius, ketika bertemu dengan Chin Peng, tak ada langsung ciri-ciri ‘jahat’ yang ada padanya, sekali imbas dia ibarat seorang pegawai tinggi kerajaan yang baru pencen!
Kulitnya putih bersih, dia memakai kemeja lengan panjang yang dikacing lengannya, seluar ‘slack’ gelap dan sepatu kulit hitam. Persis seorang ahli perniagaan yang berjaya pun ada juga.
“Betulkah awak wartawan…kalau polis mengaku saja,” kata Chin Peng pada saya.
Saya terkejut kerana dia rupanya fasih berbahasa Melayu dan tidak pelat langsung ketika bertutur walaupun dah berpuluh tahun melarikan diri ke luar negara.
Saya kemudiannya mengeluarkan kad perakuan media saya yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan.
Ketika ini dia sedikit tersenyum tetapi ketika saya mempelawanya untuk minum di kafe hotel tersebut supaya kami boleh berbual panjang – dia menolak.
Dipendekkan cerita saya hanya sempat bertanya dua soalan kepadanya sebelum pengiring-pengiringnya membawa terus bos mereka itu beredar dari situ.
Soalan pertama, apa perasaan anda bila tidak dibenarkan pulang ke Malaysia? Dia berkata kenapa tidak boleh, dia lahir di Malaysia dan dia nak sangat ziarah kubur ibu serta bapanya.
Soalan kedua, kenapa anda begitu kejam hingga membunuh ramai anggota polis dan tentera kami?
Jawapan Chin Peng sangat mudah: “Encik, dalam peperangan, kalau kita tidak membunuh, kita akan dibunuh!”
Untuk rekod, sepanjang 12 tahun era darurat iaitu dari tahun 1948 hingga 1960, seramai 4,425 orang anggota pasukan keselamatan telah terkorban dan cedera angkara kezaliman PKM di mana Chin Peng adalah ‘arkiteknya’
Daripada jumlah itu, seramai 1,346 anggota polis terbunuh dan 1,601 cedera. Jumlah anggota polis yang meninggal dunia ini merupakan 72.2% daripada jumlah keseluruhan ahli pasukan keselamatan yang terkorban iaitu seramai 1,865 orang.
Dia digelar hero oleh pentaksub dan penyokongnya sedangkan di saat mereka bertungkus-lumus berperang di belantara, Chin Peng sebenarnya bersenang-lenang di negara China!
Begini kisahnya.
Pada pertengahan tahun 1961, Chin Peng telah melarikan diri dari Tanah Melayu untuk ke China.
Dia bertolak dari sempadan Thai-Malaysia dengan menaiki kereta menuju ke Bangkok. Di Bangkok dia tinggal selama dua malam sebelum meneruskan perjalanan ke utara Thailand hingga sampai ke Mekong. Perjalanan tersebut adalah secara rahsia.
Dari Sungai Mekong, dia menaiki perahu menyeberangi sungai hingga ke Laos. Semasa di Laos itu, kerajaan Vietnam sudah diberitahu tentang kedatangan Chin Peng.
Kerajaan Vietnam, kemudian menghantar sebuah helikopter untuk mengambil Chin Peng. Dari Laos ke Vietnam, Chin Peng menaiki helikopter. Di Hanoi dia tinggal selama satu minggu.
Kemudian kerajaan China telah menghantar sebuah kapal terbang khas untuk mengambilnya dari Hanoi. Pada hari ketibaannya itu, seorang telah menunggunya di Lapangan Terbang Peking.
Rupa-rupanya ketika di negara tembok besar itu, Parti Komunis China sudah menyediakan sebuah banglo mewah di Kompleks International Liasion Department (ILD) sebagai tempat kediamannya.
Banglo itu dua tingkat. Tingkat atas terdapat empat bilik, tingkat bawah dua bilik, termasuk dua bilik makan yang luas.
Di banglo tersebut, Chin Peng diberikan dua orang setiausaha. Seorang setiausaha peribadi dan seorang lagi setiausaha penerbitan yang mengendalikan urusan penerbitan seperti dokumen-dokumen dan risalah-risalah.
Pihak China juga memberi seorang tukang masak, pelayan, pemandu, pengawal peribadi (bodyguard) dan sebuah kereta yang dipanggil Red Flag.
Bermula dari saat itu, segala aktiviti yang rnelibatkan PKM berpusat di rumah itu. Segala mesyuarat Jawatankuasa Pusat diadakan di situ.
Segala pemilihan delegasi untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat atau persidangan-persidangan komunis antarabangsa pun bermula dari rumah itulah.
Cara mereka membuat hubungan ada tiga macam, iaitu pertama melalui pengiriman: surat secara terbuka.
Di Peking, terdapat satu alamat di mana ejen-ejen ini boleh mengirimkan suratnya. Alamat tersebut tidak diketahui oleh sesiapa kecuali orang-orang tertentu. Pengiriman tersebut cuma menggunakan nombor kod sahaja. Bila surat tersebut sampai, ia dibaca melalui kod-kodnya.
Cara kedua ialah surat rahsia yang dibawa sendiri oleh orang berkenaan atau wakil-wakilnya.
Manakala cara ketiga ialah orang itu sendiri yang datang, sama ada dari Singapura, Indonesia atau London. Mereka datang jumpa Chin Peng dan bercakap sendiri masalah mereka.
Setiap laporan yang disampaikan kepada Chin Peng itu diteliti, dan Chin Peng nanti akan mengeluarkan arahan secara kasar, tentang tindakan yang patut dibuat atau diambil oleh anak-anak buahnya di tempat masing-masing.
Pendek kata, di saat anak-anak buahnya setengah mati berjuang di hutan, Chin Peng pula hanya ‘bermain catur’ dari banglo mewahnya di China!
Sebenarnya RAHSIA itu telah dibocorkan oleh tidak lain dan tidak bukan Musa Ahmad sendiri, siapa Musa ni?
Dia adalah bekas Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga Komander Rejimen Ke-10. Musa menyerah diri kepada kerajaan Malaysia pada bulan November 1980 setelah berpuluh tahun tinggal di Beijing bersama-sama Chin Peng.
Malah Jamaluddin Ibrahim, anak kepada komunis Melayu Wanita yang terkenal, Shamsiah Fakeh juga pernah menceritakan perkara yang sama dalam artikel yang ditulisnya di akhbar The Star pada tahun 2013.
Apapun kira-kira pukul 6.30 pagi 16 SEPTEMBER 2013, Chin Peng mati di sebuah hospital di Bangkok dalam usia 90 tahun akibat sakit tua.
Kira-kira enam tahun kemudian, sekumpulan lelaki telah membawa abu mayatnya ke Malaysia, sebahagian abunya ditabur ke laut berhampiran Lumut manakala sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa.
Selamat Hari Malaysia, juga hari matinya dia!
SYAHRIL A.KADIR




